Seorang pekebun sayur di Cameron Highlands kerugian RM150,000 selepas diperdaya seorang lelaki yang menawarkan nombor Toto yang kononnya menang RM2 juta yang sebenarnya tidak wujud.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian berlaku pada April lalu apabila mangsa warga emas berusia 79 tahun itu berjumpa dengan suspek yang mengaku sebagai penjaga masjid.

"Suspek memberitahu mangsa kononnya dia mempunyai nasib yang baik dan mungkin akan kena nombor ekor. Mangsa yang percaya kemudian memberikan suspek RM20 untuk membeli nombor ekor 6D.

"Suspek mendakwa nombor berkenaan kena sebanyak RM2 juta pada 2 April lalu. Namun resitnya ada pada suspek dan mangsa perlu membayar RM150,000 terlebih dahulu jika mahu wang RM2 juta itu," kata Mohd Wazir ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata akibat terlalu inginkan duit berkenaan, mangsa membuat serahan tangan wang sebanyak RM50,000 kepada lelaki berkenaan sebanyak dua kali, dan RM30,000 sekali pada 9 April lalu.

"Kesemua wang berkenaan diserahkan kepada lelaki berkenaan di kawasan Ringlet dan Ladang Boh, Cameron Highlands. Selain itu, mangsa ada memasukkan wang tunai ke dalam akaun Hong Leong Bank sebanyak RM20,000 pada 15 April lalu.

"Setelah itu, mangsa cuba hubungi lelaki itu untuk mendapatkan wang RM2 juta, namun tidak dapat. Mangsa berasa seperti ditipu oleh lelaki itu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, semalam," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.