Berkuat kuasa serta merta, pengeluaran lesen balak jangka pendek di Sarawak akan dikeluarkan hanya melalui proses tender bagi memastikan ia dijalankan secara telus, kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata keputusan itu dicapai hari ini dengan hasrat untuk meningkatkan lagi dasar tadbir urus hutan Sarawak dengan meningkatkan lagi prosedur pengeluaran lesen balak jangka pendek.

Katanya lesen itu hanya dikeluarkan untuk tanah hutan kerajaan negeri yang diluluskan untuk pembangunan; dan kawasan pembangunan tanah hak adat (NCL) dan tanah hak adat pribumi, yang akan melalui proses pembangunan.

Beliau menegaskan dalam proses tender itu, Jabatan Hutan perlu menyediakan dokumen tender yang antara lain termasuk, status tanah itu, tempat, saiz tanah, anggaran pokok balak dan mudah diakses.

"Jabatan Perhutanan juga hendaklah membuat anggaran pokok balak yang akan dinilai berdasarkan saiz tanah dan kualiti pokok yang sedia ada dalam usaha untuk menentukan harga rizab dalam suatu tender tertentu," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Abang Johari berkata tender itu akan diiklankan dalam akhbar tempatan dan laman web Jabatan Perhutanan dan jabatan itu perlu memastikan tarikh tutup tender hendaklah sekurang-kurangnya 30 hari selepas tarikh penerbitan.

"Sementara itu, Jabatan Perhutanan hendaklah memperincikan mekanisme untuk lesen pembalakan itu dikeluarkan bagi kawasan hutan di atas tanah tertakluk kepada hak-hak tanah adat, dengan mengambil kira kepentingan masyarakat yang terlibat," katanya.

Beliau berkata lesen pembalakan jangka pendek yang dikeluarkan di atas tanah kerajaan yang akan tamat tempoh tahun ini tidak akan diperbaharui kecuali tanah itu telah diluluskan untuk pembangunan.

-- BERNAMA