Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan pendaftaran di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC) sekiranya ada kalangan doktor yang menawarkan khidmat suntikan Vitamin C.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata ini kerana suntikan tersebut sememangnya tidak diiktiraf oleh KKM malah turut tidak dibenarkan dijual di negara ini.

"Sekiranya didapati bersalah kami boleh ambil tindakan di bawah MMC, misalnya tindakan disiplin dan pilihan akhir sekali kami akan menggugurkan namanya daripada pendaftaran sebagai doktor," katanya selepas melawat Hospital Kuala Nerang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lambakan tawaran perkhidmatan suntikan itu melalui media sosial seperti laman Facebook dan Instagram yang semakin menjadi-jadi ketika ini.

Kebanyakan mereka yang mendapatkan suntikan ini terdiri daripada mereka yang terlalu obses dengan kecantikan terutamanya ingin memiliki kulit yang putih walaupun kosnya agak tinggi.

Dikatakan, mereka yang mendapatkan suntikan Vitamin C tidak berdaftar, boleh terdedah kepada risiko kemudaratan kepada wajah dan tubuh badan seperti jangkitan pada kulit, jangkitan pada salur darah selain kerosakan buah pinggang.

Sehubungan itu Dr Hilmi berkatanya pihaknya turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mengambil tindakan menyekat dan menutup akaun laman sosial seperti Facebook dan Instagram yang menawarkan perkhidmatan itu.

"Vitamin C telah diluluskan sebagai item di bawah kawalan, kami ada peraturan dan undang-undang di bawah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi yang kami boleh merampas mereka yang memiliki bahan ini," katanya dan meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sekiranya mendapat maklumat berkaitan kegiatan itu.

Sementara itu Dr Hilmi berkata kerajaan berhasrat mempertimbangkan pembinaan sebuah pusat hemodialisis baharu di Hospital Kuala Nerang yang dianggar menelan belanja RM8.5 juta.

Ia berikutan Unit Hemodialisis sedia ada ketika ini di hospital itu, tidak mempunyai bangunan sendiri dan hanya menumpang di sebuah makmal.

"Mereka (Hospital Kuala Nerang) minta satu pusat dialisis baharu yang merangkumi bangunan baharu dan mahu menambah lapan lagi mesin dialisis daripada 12 yang ada ketika ini.

Sekarang ini terdapat 52 kes yang sedang mendapat rawatan di sini (Hospital Kuala Nerang), tujuh kes lagi sedang menunggu rawatan...sebab itu memang keperluan amat mendesak dan kami akan pertimbangkan untuk masukkan dalam Rolling Plan kami," katanya.

-- BERNAMA