Lesen kontraktor yang terbabit dalam pembinaan Masjid Kampung Tebauk di sini yang runtuh sebahagian bumbung dan silingnya semalam boleh ditarik balik jika mereka didapati gagal mematuhi prosedur ditetapkan.

Menegaskan demikian, Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Terenganu, Ahmad Farrin Mokhtar berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menjalankan siasatan penuh mengenai kejadian itu.

Menurutnya jika kontraktor terlibat didapati cuai atau tidak mengikut prosedur kerja ditetapkan, maka ia bakal berdepan tindakan tatatertib mengikut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) 1994.

"Menerusi maklumat awal yang kita lakukan kontraktor berkenaan memang berdaftar dengan CIDB dan penuhi akta yang ditetapkan dan kita akan serahkan laporan kejadian ini kepada ibu pejabat.

"Kita juga akan melantik panel tatatertib yang terdiri daripada pegawai kanan CIDB yang akan menilai kes berkenaan sebelum hukuman penggantungan lesen dikenakan," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata semasa projek itu dijalankan kontraktor dan pembekal berkenaan berdaftar dengan CIDB.

Awal pagi semalam sebahagian bumbung dan siling ruang kedua solat Masjid Kampung Tebauk runtuh.

Insiden itu dipercayai berlaku pukul 4 pagi ini melibatkan kira-kira 20 peratus bahagian masjid itu yang siap dibina dua tahun lepas melibatkan kos RM5.7 juta dan boleh memuatkan 1,000 jemaah.