Rakyat Malaysia dan peserta Malaysia My Second Home (MM2H) yang memiliki lesen memandu luar negara boleh menukar kepada Lesen Memandu Malaysia bermula esok (Jumaat, 1 November).

Permohonan pertukaran lesen tersebut hanya boleh dilakukan di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan pejabat negeri sahaja.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi warganegara Malaysia terbabit dan peserta MM2H bagi kelulusan khas berkenaan.

Lesen memandu negara asal yang dipunyai individu berkenaan adalah masih sah dan berkuat kuasa.

Ia mestilah lesen memandu penuh dan tidak termasuk lesen atau permit belajar memandu, lesen sementara atau percubaan.

“Bermula 1 November, pertukaran lesen memandu luar negara bagi peserta MM2H dan warga negara Malaysia yang ada lesen luar negara adalah dibenarkan dimulai esok.

“Pelaksanaan ini adalah berdasarkan peraturan berikut: Lesen memandu negara asal individu berkenaan adalah masih sah dan berkuatkuasa, lesen memandu yang dimaksudkan adalah lesen memandu penuh dan tidak termasuk lesen memandu mengajar atau lesen sementara ataupun lesen percubaan.

“Keduanya, lesen memandu negara asal akan ditukarkan kepada lesen percubaan Malaysia (LP) dan diwajibkan memenuhi semua syarat kepada pemegang lesen P.

“Perkara ini bagi memastikan individu berkenaan benar-benar mempunyai kompentesi memandu, selain mendidik pemandu semua peraturan jalan raya di negara ini,” ujar Shaharuddin.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pelaksanaan pertukaran lesen memandu asing di Putrajaya.

Dalam pada itu, bagi peserta atau warganegara yang memperoleh lesen memandu daripada negara yang bukan penjanji kepada Konvensyen 1949, bukan dari negara ASEAN dan tidak mempunyai Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) dengan Malaysia, mereka akan diwajibkan untuk menduduki kelas dan ujian teori undang-undang sahaja.

Jelas beliau, perkara itu amat diperlukan untuk memastikan tahap pemahaman terhadap undang-undang dan peraturan jalan raya negara ini yang mungkin berbeza dengan negara asal lesen dikeluarkan.

Sementara itu peserta MM2H, lesen memandu akan dibatalkan sekiranya mana-mana program peserta melanggar mana-mana program syarat, telah dibatalkan daripada program MM2H.