Peniaga diminta meletakkan notis pemberitahuan sekiranya barangan yang dijual di premis mereka belum ditolak enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi mengelak berlaku kekeliruan kepada pengguna.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata peniaga perlu meletakkan notis tersebut di premis walaupun mereka diberi tempoh sehingga 30 Jun untuk mengemaskini tanda harga berdasarkan GST pada kadar sifar peratus.

"Berdasarkan pemeriksaan yang dibuat, kita lihat mereka (peniaga) bukan tidak mengikut arahan cuma memerlukan masa untuk mengemaskini harga di rak walaupun harga di sistem telah ditukar.

"Ada premis yang mempunyai ratusan ribu barang dan ia mengambil masa untuk dikemaskini, jadi mereka perlu sediakan notis atau makluman kepada pengguna bahawa harga pada barangan belum ditolak GST," katanya kepada pemberita selepas menjalankan Ops Catut 4.0 di sini pada Rabu.

Peniaga diberi tempoh selama 30 hari bermula 1 Jun, bagi mengemas kini tanda harga berdasarkan kadar sifar peratus GST, dan sekiranya gagal berbuat demikian mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Bercakap mengenai Ops Catut 4.0, Shamsul Nizam berkata KPDNKK Perak memeriksa 7,526 barangan menerusi pemeriksaan di 560 premis dari 24 Mei sehingga semalam.

Beliau berkata pihaknya mengeluarkan lima surat amaran dan satu notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 selepas menerima 29 aduan.

"Kebanyakan aduan yang diterima mengenai harga barang kekal selepas pelaksanaan GST sifar peratus, harga barang naik selepas sifar peratus GST dan kekeliruan harga disebabkan Caj Perkhidmatan dan Dasar Harga Terangkum," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Nizam berkata pihaknya dijangka melakukan 70,000 pemeriksaan termasuk harga barang di seluruh negeri sehingga 30 Jun ini.

Beliau berkata 30,252 pemeriksaan dijalankan dari Januari sehingga semalam membabitkan rampasan barangan bernilai RM536,413.23.

"Tujuan kita melakukan pemeriksaan ini adalah untuk memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan dan pengguna pula dapat berbelanja dengan berhemah," katanya.

-- BERNAMA