Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 11 Okt untuk sebutan semula kes dua lelaki yang didakwa membaling, meletupkan dan memiliki bom tangan sehingga menyebabkan lapan cedera di pusat hiburan, Puchong, Jun lalu.

Hakim Azwarnida Affandi menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memohon satu tarikh baharu berikutan tertuduh pertama iaitu Imam Wahyudin Karjono, 20, yang ditahan di Penjara Kajang tidak hadir ke mahkamah atas sebab-sebab tertentu.

Hari ini mahkamah dijadualkan untuk mendengar laporan sosial Imam Wahyudin, seorang penganggur dan menjatuh hukuman bagi kedua-dua tertuduh.

Pada 25 Julai lepas, Imam Wahyudin dan Jonius Ondie @ Jahali, 24, seorang operator kilang mengaku bersalah atas lapan pertuduhan membaling dan meletupkan bom tangan yang menggunakan fius lever jenis 'Fuze M213' dan telah menyebabkan kecederaan terhadap lapan mangsa.

Mereka didakwa dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu akan menyebabkan kematian ke atas mangsa atas cubaan membunuh orang dan perbuatan itu telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pusat hiburan Movida Boulevard Sdn Bhd, Lot G2 & G3, Tingkat Bawah, IOI Boulevard, Jalan Kenari 5, Bandar Puchong Jaya, Puchong, pada 2 pagi, 28 Jun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Imam Wahyudin dan Jonius turut mengaku bersalah bagi pertuduhan memiliki bahan letupan iaitu sebutir bom tangan yang menggunakan fius lever jenis 'Fuze M213' secara menyalahi undang-undang di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana mereka menghadapi satu kes di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Peguam Fareida Mohd dan Mohd Wong Kar Fai mewakili Imam Wahyudin manakala Jonius diwakili peguam Aaron Mark Pius dan Joan Sia. Jonius kemudian dibawa ke Penjara Sungai Buloh. - BERNAMA