Orang ramai yang juga pembayar cukai tidak lepaskan peluang tampil mengisytiharkan pendapatan secara sukarela pada hari terakhir Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) hari ini.

Tinjauan Sinar Harian di LHDNM Cawangan Petaling Jaya di sini mendapati kaunter informasi sesak dengan orang ramai yang turut beratur panjang sehingga luar bangunan bagi dapatkan maklumat serta nombor giliran.

Difahamkan pembayar cukai mula membanjiri kawasan berkenaan seawal jam 8.30 pagi untuk berurusan dan keadaan bertambah sesak mulai jam 10 pagi dengan dijangka berlanjutan sehingga petang.

Pegawai Khidmat Pelanggan LHDNM Cawangan Petaling Jaya, Johnny Warnela Jaswar berkata, kebanjiran orang ramai sehingga menjadikan suasana sesak pada hari terakhir PKPS sememangnya dijangkakan.

"Kaunter mula dibuka jam 8.30 pagi tadi sehingga jam 5 petang nanti. Sebaik dibuka, orang ramai sudah mula beratur untuk dapatkan maklumat serta berurusan dan di sini mempunyai sembilan kaunter untuk cukai pendapatan dan tiga untuk duti setem.

"Keadaan ini mungkin berlanjutan hingga petang dengan jangkakan kehadiran lebih 100 orang memandangkan tempoh PKPS tidak dilanjutkan lagi dan akan berakhir hari ini.

"Peningkatan kehadiran pembayar cukai untuk isytihar pendapatan mereka hari terakhir ini mendadak berbanding sebelum ini. Minggu lepas keadaan lengang tidak ramai yang tampil," katanya ketika ditemui Sinar Harian di LDHN Cawangan Petaling Jaya di sini hari ini.


Menurutnya, walaupun kaunter turut dibuka pada Sabtu serta semalam namun sambutan tidak menggalakkan dengan sekitar 10 hingga 20 orang sahaja yang tampil dan hari ini dalam tempoh dua jam terawal sahaja sudah lebih 30 orang hadir.

Sementara itu untuk info, PKPS fasa pertama dengan pengenaan kadar penalti 10 peratus daripada amaun cukai dikenakan sehingga 30 Jun lalu.

Fasa kedua PKPS dengan pengenaan kadar penalti 15 peratus daripada amaun cukai yang dikenakan pula bermula 1 Julai dan tamat pada hari ini, 30 September.

Mulai 1 Oktober 2019 kadar penalti daripada 45 peratus ke atas akan dikenakan bagi mana-mana kesalahan tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan juga kesalahan kurang melaporkan cukai pendapatan.