Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil pendekatan jangka masa panjang melalui kempen kesedaran bagi mengubah budaya membuang sampah membabitkan penduduk di projek perumahan rakyat (PPR).

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kementeriannya akan mula memasang iklan kesedaran di lif-lif PPR di seluruh negara dalam waktu terdekat.

Tindakan segera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memasang jaring sebagai langkah keselamatan merupakan satu langkah tepat dan disambut baik pihaknya.

Katanya, KPKT akan mula memasang iklan kesedaran di lif-lif PPR seluruh negara dalam masa terdekat.

"Apa yang berlaku ini membabitkan budaya membuang sampah sesuka hati, malah ada yang nak buang air dari atas pun 'main tuang' saja.

"Kita kena ingatkan mereka bahawa mereka hidup dalam satu tempat yang melibatkan ramai penduduk," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Warga KPKT pada Isnin.

Beliau turut menegaskan bahawa penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi tanpa kesedaran dari kempen yang berupaya mengubah budaya yang kini mula meragut nyawa.

Pada Ahad, pihak DBKL memulakan kerja-kerja pemasangan jaring di PPR seluruh Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempertingkatkan keselamatan penghuninya.

BACA: Jaring keselamatan mula dipasang di setiap PPR Kuala Lumpur

BACA: Nasib penduduk flat: Kalau orang baling batu, nak guna jaring apa pula?

BACA: 'Pagi bersih, malam ibarat tong sampah' - Penduduk Flat San Peng

BACA: Komuniti tidak bertanggungjawab lahirkan budaya tak ada adab - Ibrahim Bajunid