Tutup

Lihat pelarian sebagai sumber produktif kepada negara tuan rumah - Sultan Nazrin

Lihat pelarian sebagai sumber produktif kepada negara tuan rumah - Sultan Nazrin
Titah Sultan Nazrin, kaedah berbeza perlu digunakan oleh negara tuan rumah dalam mencari penyelesaian yang sewajarnya terhadap isu pelarian. - GAMBAR Astro AWANI
PETALING JAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, bertitah negara tuan rumah kepada pelarian perlu melihat kumpulan tersebut sebagai sumber produktif kepada negara.

Titah baginda, kaedah berbeza perlu digunakan oleh negara tuan rumah dalam mencari penyelesaian yang sewajarnya terhadap isu pelarian.

“Tindakan kemanusiaan semestinya memfokuskan kepada memenuhi keperluan segera yang paling terdedah.

“Tetapi memandangkan keperluan ini memerlukan ketekunan, tanggungjawab pemimpin kemanusiaan perlu berkembang merangkumi langkah-langkah untuk mengurangkan kelemahan pada masa depan dan membina daya tahan.
“Ini mungkin melibatkan pendekatan berbeza kepada pelarian, yang sering mewakili jumlah yang besar dan sumber (pelarian) ini sangat kurang digunakan di negara perlindungan mereka.

“Berbanding hanya mengekalkan mereka sebagai penerima pasif bantuan, pelarian-pelarian ini mungkin boleh menjadi sumber produktif yang tinggi kepada tuan rumah mereka,” titah baginda.
Sultan Nazrin yang juga Timbalan yang Di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Persidangan Kemanusiaan Antarabangsa 2019 anjuran Mercy Malaysia di Sunway University, di sini.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari bermula sejak semalam menampilkan lebih 100 pemimpin kemanusiaan dan penceramah dari serata dunia.

Titah baginda lagi, tumpuan perlu diberikan kepada matlamat bersama bagi mengurangkan kelemahan dan seterusnya membina daya tahan, seperti mana yang terkandung dalam objektif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Keutamaan adalah SDG 3 mengenai kesihatan dan kesejahteraan, (SDG) 4 mengenai kebuluran, dan 6 mengenai bekalan air bersih dan sanitasi – semuanya yang berkaitan dengan memenuhi keperluan asas.

“Aspek yang lagi meluas meliputi SDG 10 iaitu mengenai kesamarataan jantina, 13 mengenai tindakan iklim, dan 16 keamanan, keadilan dan institusi yang kuat,” titah Sultan Nazrin lagi.


Tag: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Perak, Persidangan Kemanusiaan Antarabangsa, Pelarian, Sultan Nazrin Shah



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.