Ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng disifatkan tidak memahami peraturan Dewan Rakyat apabila menghina Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Tegas Pandikar, tindakan Lim memalukan dan membuktikan dia tidak faham Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat Parlimen.

Katanya, Lim seperti menolak peraturan Parlimen walaupun beliau merupakan seorang pengamal undang-undang.

"Adakah saya yang tidak faham peraturan mesyuarat. Dia hendak memalukan saya yang dikatakan tidak faham peraturan mesyuarat.

"Dia mahu twist (putarkan) dan mahukan publisiti untuk memalukan Speaker. Siapa sebenarnya yang memalukan?" katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Selasa lalu, Lim mendakwa Pandikar telah mengarahkan beliau keluar daripada Kamar Khas yang bersidang, sebelum sempat membahaskan ucapannya mengenai belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pemimpin DAP itu mendakwa, Speaker memberi ‘syarahan’ mengenai isu subjudis saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, sebelum mereka saling menjerkah antara satu sama lain dan Lim diarah keluar daripada sidang itu.

Sebuah portal melaporkan, Lim dijangka berdepan usul untuk digantung dari sidang Parlimen atau Dewan Rakyat ekoran insiden menghina Pandikar.

Usul untuk menggantung Lim selama enam bulan, tercatat dalam kertas aturan mesyuarat dan usul-usul.

Usul tersebut dijangka dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada April lepas, Pandikar pernah menganggap Lim menghinanya apabila memintanya meletakkan jawatan.

Dalam perkembangan berasingan, Pandikar menganggap mana-mana bekas menteri yang mendedahkan maklumat sulit kerajaan kepada umum dianggap melanggar sumpah kerahsiaan.

Tegasnya, ia termasuk sebarang pendedahan semasa membentangkan hujah di dalam Dewan Rakyat.

"Kalau perkara kita dapat ketahui semasa kita jadi menteri, jadi ia dizahirkan. Adakah itu timbul, adakah informasi itu sewaktu dia jadi menteri atau tidak.

"Jadi, kalau informasi kita dapat itu sewaktu ada jawatan maknanya sudah melanggar sumpah, ada akta tertentu," katanya pada sidang yang sama.

Pandikar mengulas tindakan bekas menteri yang mempersoalkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan tindakan bekas menteri yang mempersoalkan isu 1MDB sebagai menyalahgunakan fungsi Dewan Rakyat.