Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019 diangkat di Pentas Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka hari ini sebagai komitmen negara menentang keganasan dan menolak kebencian.

Ia dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019 itu berbunyi:

1. Mengecam segala tindakan diskriminasi, perlakuan berbentuk keganasan serta pembunuhan atas nama kaum dan agama.

2. Menolak dan mengutuk sebarang tindakan serta budaya kebencian atas nama kaum dan agama.

3. Mendokong segala usaha menghidupkan kedamaian dan menyokong keharmonian antara kaum dan agama.

4. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan Negara daripada diancam oleh anasir kebencian atas nama kaum dan agama.

5. Menyokong dan berganding bahu bersama warga dunia dalam usaha membina persekitaran berteraskan keamanan dan kedamaian berpaksikan pengiktirafan kepelbagaian kaum dan agama.

Ini 5 Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019

Perhimpunan Solidariti Kedamaian hari ini diadakan susulan tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu, di mana 50 orang terkorban, termasuk seorang rakyat Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi.

Bacaan Deklarasi Kedamaian KL 2019, yang membawa suara hati rakyat Malaysia, merupakan acara kemuncak himpunan.


Wakil pelbagai agama turut hadir, termasuk Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Julian Leow dari Christian Federation of Malaysia, Sardar Jagir Singh (Malaysian Gurdwaras Council) dan S Sanggita (Bahai Community of Malaysia).

Perhimpunan dianjurkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dengan kerjasama Civil Society Organisation.