Lima individu warga tempatan termasuk dua wanita ditahan bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dipercayai akibat didera, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata kesemua suspek berusia 23 hingga 57 tahun yang merupakan keluarga angkat mangsa, ditahan kira-kira 9 malam di sekitar Petaling Jaya.

Menurutnya, kanak-kanak warga Indonesia itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh pada 4 petang semalam oleh pengasuhnya dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor di hospital berkenaan pada 4.30 petang. Pemeriksaan pada badan mangsa didapati terdapat banyak kesan lebam dan cedera," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Mohd Zani berkata berdasarkan maklumat daripada jiran mangsa, kanak-kanak itu sering menangis kesakitan dipercayai akibat didera oleh keluarga angkatnya yang tinggal di sebuah flat di Jalan PJS8/14 Petaling Jaya.

Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

-- BERNAMA