Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) menahan reman lima penguat kuasa dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ) Pulau Pinang selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah di Pulau Pinang.

Mereka ditahan selepas didakwa melindungi pemandu-pemandu lori, yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih di sekitar negeri itu.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret L. Umma Devi hari ini selepas membenarkan permohonan reman yang dikemukakan SPRM.

Terdahulu, lima penguat kuasa JPJ itu tiba di Mahkamah Majistret George Town pada 10.10 pagi dengan memakai pakaian biasa dan diiringi pegawai SPRM.

Lima individu itu adalah antara 22 penguat kuasa JPJ negeri, berusia antara 32 hingga 55 tahun, yang ditahan selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah, pada Sabtu.

Bagaimanapun, 17 penguat kuasa dibebaskan dengan jaminan.

BACA: Dah lama dah, gejala rasuah dalam kalangan penguat kuasa JPJ sudah lama - Loke


Penahanan kesemua anggota JPJ itu adalah siasatan peringkat kedua dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi termasuk penguat kuasa dan pegawai kanan JPJ yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Pada Jumaat, 23 daripada 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang direman SPRM Rabu lepas, dibebaskan dengan jaminan manakala seorang lagi masih ditahan berikutan siasatan ke atasnya belum selesai.


Rabu lalu, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap 30 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang.

Perintah reman itu dibuat susulan tangkapan dilakukan SPRM dalam operasi khas di seluruh Pulau Pinang pada jam 10 pagi hingga 10 malam, Selasa lepas.