Padah menggunakan khidmat urutan wanita yang berselindung di pusat urutan refleksologi, lima lelaki diberkas dalam operasi yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), di sini, malam tadi.

Ketua Penolong Pesuruhjaya JHEAT, Nik Zulhaiza Ismail berkata kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan di pusat urutan berasingan di bandar raya ini.

Katanya turut ditahan seorang wanita warga tempatan berumur sekitar 30-an yang bekerja sebagai tukang urut di sebuah daripada pusat urutan tersebut.

"Kesemua mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika menggunakan khidmat urutan wanita warga asing dalam serbuan di lokasi berasingan.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana khalwat dan Seksyen 29 enakmen sama atas perbuatan sebagai persediaan luar nikah," katanya kepada pemberita selepas operasi tamat pada pukul 12 tengah malam.

Operasi yang bermula pukul 10 malam itu melibatkan 65 pegawai dan anggota dari seluruh daerah Kuala Terengganu.

Sebanyak sembilan lokasi termasuk pusat urut dan pusat hiburan telah diperiksa di sekitar bandar ini.

Beliau berkata dalam operasi selama tiga jam itu juga pihaknya turut mengeluarkan tujuh notis kepada sekumpulan remaja kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Jelasnya tiga lelaki dan empat wanita berusia sekitar 20-an tersebut dikesan berkelakuan tidak sopan dalam serbuan di sebuah pusat karaoke.

"Kesemua mereka telah diberikan notis bagi menghadiri sesi kaunseling mengikut seksyen 34 enakmen berkenaan kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dan serbuan ini dari semasa ke semasa tanpa mengira lokasi.