Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengambil keputusan untuk menutup lima pejabat Tourism Malaysia di Los Angeles, New York, Perth, Stockholm dan Johannesburg berkuat kuasa serta-merta.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan itu dibuat disebabkan pejabat-pejabat tersebut menghadapi kesukaran untuk mempromosikan Malaysia ekoran penutupan laluan penerbangan ke destinasi terlibat oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB).

“Oleh kerana mereka (MAB) telah hentikan penerbangan mereka, jadi kita juga akan menutup (pejabat di sana) kerana jika kita promosi pun, kapal terbang kita tidak ada di sana.

“Agak sukar untuk membuat promosi, jadi kita tutup dan fokus kepada negara-negara besar di Eropah yang banyak menghantar (pelancong mereka ke sini),” kata Nazri.

Menurut beliau, dana RM4.5 juta yang dapat dijimatkan ekoran penutupan itu akan digunakan bagi membuka lebih banyak pejabat pelancongan Malaysia di China dan India sebagai penyumbang terbesar pelancong ke negara ini.

Kata Nazri lagi, kementeriannya juga akan memberi fokus mempromosi Malaysia kepada negara-negara Eropah seperti United Kingdom, Jerman, Sepanyol dan Perancis yang menyumbang lebih 500,000 pelancong ke negara ini pada tahun lalu.

Nazri berkata demikian pada sidang media selepas majlis beramah mesra bersama rakyat di Lubuk Merbau, di sini pada sabtu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kejatuhan nilai mata wang ringgit dijangka akan merancakkan lagi sektor pelancongan negara pada ini.

Beliau memberitahu Kementerian Pelancongan menyasarkan sejumlah 30.1 juta pelancong antarabangsa bakal melawat negara ini dengan anggaran rm103 bilion daripada segi resit pelancongan.