Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 15 kes positif COVID-19 dikesan di negara ini setakat jam 12 tengah hari pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 15 kes positif, 10 kes merupakan kes penularan tempatan manakala selebihnya adalah kes import.

Berikut adalah lima perkara penting dalam sidang media beliau pada 6 Ogos 2020.

1) Sehingga 6 Ogos 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 15 kes baharu yang telah dilaporkan, 10 kes penularan tempatan dan lima kes import

2) Daripada 10 kes penularan di dalam negara, lapan kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala selebihnya melibatkan bukan warganegara

3) Enam kes daripada penularan tempatan datang dari Kluster Sivagangga di Kedah manakala dua lagi masing-masing dari Negeri Sembilan dan Sabah

4) Terdapat 11 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,713 kes

5) Tiada kematian direkodkan pada hari ini menjadikan jumlah kematian kekal 125 kes manakala dua ditempatkan dalam Unit Kecemasan Rapi (ICU) dengan 1 kes memerlukan bantuan pernafasan