Sebuah pasar raya mengalami kerugiaan kira-kira RM200,000 selepas lima perompak memecah masuk pintu belakang bangunan itu dalam kejadian di Aulong dekat sini, pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian sekitar pada pukul 1.05 pagi itu, kelima-lima suspek dipercayai warganegara asing bertindak mengikat empat pengawal keselamatan pasar raya berkenaan sebelum memecah masuk ke dalam bangunan tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab. Hamid berkata, siasatan awal mendapati dua pengawal keselamatan yang sedang menjalankan rondaan diserbu lima lelaki sebelum diikat dengan tali selain kepala ditutup dengan kain serta ditinggalkan ke tempat pemunggahan barang.

“Selepas lima minit, dua lagi pengawal keselamatan dilakukan perkara sama dan dikumpulkan bersama.

“Menurut mangsa, kelima-lima suspek ini memakai penutup kepala dan bersenjatakan parang, kuku kambing selain batang besi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada petang Selasa.

Tambah Razlam, keempat-empat pengawal keselamatan tersebut berjaya melepaskan diri pada pukul 4.30 pagi.

“Siasatan lanjut mendapati pintu besi laluan masuk kakitangan telah dipotong.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihak pasar raya memaklumkan wang tunai kira-kira RM200,000 yang diletakkan di dalam pasar raya itu hilang,” katanya.

Jelas Razlam, pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain memburu lima suspek tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.