Lima rakan didakwa edar hampir 5.9kg dadah

Lima rakan didakwa edar hampir 5.9kg dadah
Lima rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan mengedar hampir 5.9kg methamphetamine pada 14 Feb lepas. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lima rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan mengedar hampir 5.9kg methamphetamine pada 14 Feb lepas.

Pertuduhan terhadap E.Saravanan, 38, S.Kumanan, 35, E. Harri Bhaaskhar, 34, N.D.Anantha Raj, 38, dan M.Murusumaran, 36, dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima lelaki itu kerana kes berkenaan merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka dituduh bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 5,862 gram di premis kilang, di Jalan SMS, Seksyen 19, Kawasan Perindustrian Rawang, Rawang Perdana, pada 1.10 pagi, 14 Feb lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum nmenurut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Faiz Abu Samah manakala Harri Bhaaskhar, diwakili peguam Tiew Poh Nee. Empat lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 24 April untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA