Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah menetapkan lima sasaran sebagai 'Key Performance Indicator (KPI)' bagi membangunkan sumber air terawat ke arah memulihkan masalah bekalan air di seluruh negeri menjelang tahun 2020.

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata lima sasaran itu antara lain mengupayakan peranan Jabatan Air Negeri Sabah dengan memastikan kecekapan pengurusan dan penyampaian sistem bekalan air yang lebih efisen.

Beliau berkata kementeriannya juga akan membangunkan sistem pembekalan air bersih dan terawat bagi memastikan bekalan air dapat menampung permintaan dan keperluan domestik dan industri.

"Sasaran seterusnya ialah pembinaan empangan air atau kolam takungan air hiliran atau 'Off River Storage' bagi memastikan kualiti air mentah pada tahap yang mematuhi kualiti National Drinking Water Quality Standard (NDWQS) serta memastikan kuantiti air mentah mencukupi.

"Kita juga akan meluaskan kawasan liputan bekalan air terawat di kawasan luar bandar bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup dan menyokong kepada sosio ekonomi penduduk luar bandar.

"Akhir sekali meningkatkan kecekapan perkhidmatan bekalan air dengan penurunan kadar air tidak berhasil ke tahap yang optimum,"katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah mengenai perancangan Jabatan Air Negeri Sabah agar bekalan air di seluruh Sabah dapat dipulihkan.

Tambah Peter, pihaknya juga telah menyarankan agar kerajaan mengkaji semula perjanjian kontrak kepada enam syarikat kontraktor air yang terbabit dalam mengendalikan 58 loji air di negeri ini selepas ia dilihat sebagai berat sebelah.

"Kontrak ini amat merugikan kepada kerajaan dan dalam penelitian yang telah dilakukan bersama Jabatan Air Sabah, sekiranya kontrak ini diambil atau diselia oleh Jabatan Air atau kementerian kita mampu mengurangkan jumlah duit yang diberikan kepada kontraktor-kontraktor tersebut,"katanya.