Jabatan Imigresen Kedah menahan lima wanita warga Thailand dalam Op Ikrar yang dijalankan di sebuah premis refleksologi di Taman Pekan Baru, Sungai Petani, awal pagi tadi.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah Mohd Shahrir Khalil berkata dalam operasi yang dijalankan pada 12.05 tengah malam itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap lima wanita warga Thailand dan tiga lelaki serta dua wanita tempatan yang berada di dalam premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, lima wanita warga Thailand berumur antara 34 hingga 50 tahun ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar dan menyalahgunakan pas lawatan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Shahrir berkata kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan ditempatkan di lokap imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Imigresen Belantik, Sik.