Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah meminta rakyat Malaysia supaya melaksanakan tanggungjawab mereka bagi melindungi kanak-kanak daripada penderaan seksual.

Baginda bertitah kanak-kanak yang mengalami penderaan itu tidak harus didiskriminasi sebaliknya, perlu diberi sokongan dan bantuan.

"Kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual selalunya tidak mempunyai sesiapa untuk meluahkan perasaan mereka dan sering dianggap sebagai pembohong.

"Berilah anak-anak ini peluang untuk merasa bahawa mereka mempunyai orang dewasa seperti kita yang boleh membimbing dan melindungi mereka," titah baginda pada majlis mengumpul sumbangan bagi Liga Wanita Johor (Jewel) di sini, hari ini.

Majlis itu dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

Jewel, sebuah badan bukan kerajaan di Johor, kini dalam misi memperkasakan kanak-kanak untuk menentang penderaan seksual menerusi penganjuran kempen Tindak Demi Anak Kita (TinDAK) yang sehingga kini telah mengumpul RM800,000.

Presiden Jewel, Liza Alip berkata TinDAK dilancarkan pada 2016 dengan tujuan mendidik kanak-kanak tentang tanda ancaman dan bahaya serta bersuara bagi mendapatkan bantuan untuk melindungi mereka daripada pemangsa seksual dan pedofilia.

"Kami telah melihat hasil positif yang luar biasa di mana lebih ramai kanak-kanak kini terbuka dan tampil memberitahu ibu bapa dan guru mereka mengenainya.

"Sasaran utama kami adalah melindungi kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual terutamanya mereka yang kurang upaya, dengan memberikan mereka rawatan yang sewajarnya," kata beliau. - Bernama