Tiga lagi penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman enam hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 19 Ogos itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini.

Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 40 dan 43 tahun itu difahamkan ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya antara pukul 1 dan 2 petang semalam.

Mereka telah hadir ke ibu pejabat SPRM itu bagi memberi keterangan.

Sebelum ini, SPRM telah mendapat perintah reman terhadap enam individu termasuk seorang peniaga selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes yang sama.


BACA: Lindungi premis haram: Penolong pegawai penguat kuasa direman 7 hari

BACA: Hina PDRM, ATM: Asri Janggut akan dipanggil Bukit Aman

BACA: Mohd Asri disiasat, bukannya dihukum - Menteri Dalam Negeri

Kes melibatkan peniaga di Sungai Buloh menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi di Bandar Baru Sungai Buloh.

Pendedahan dibuat menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia dan dikongsi oleh akaun Mohd Asri Hamid, 42 tahun, juga dikenali sebagai Asri Janggut.

Susulan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan itu.