Lintar pintas menjadi punca stesen minyak Petronas Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh, Selangor ditutup sementara selama lebih dua jam pada Jumaat.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Selangor dalam satu kenyataan menerusi Facebook berkata, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas stesen berkenaan selepas menerima aduan pengguna.

Semasa pemeriksaan dijalankan, katanya, anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor mendapati stesen minyak tersebut telah kembali beroperasi dan semua pam berfungsi.

Pengurus stesen tersebut memaklumkan, penutupan dibuat pada kira-kira jam 3.30 petang hingga 5.45 petang disebabkan berlaku litar pintas di situ, katanya.

KPDNHEP juga mendapati stok bekalan semasa di stesen itu mencukupi ketika pemeriksaan dijalankan.

Justeru, KPDNHEP menasihatkan para pengusaha stesen minyak supaya meletakkan notis pemakluman yang jelas kepada pengguna jika berlaku sebarang penutupan.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengambil maklum bahawa stesen minyak itu tidak beroperasi selepas pengumuman perubahan harga petrol.

Beliau mengarahkan KPDNHEP negeri Selangor untuk segera menyiasat dan memberikan laporan penuh ke atas penutupan stesen minyak tersebut.