Penyokong setia Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus 'berkampung' di Putrajaya sehingga sesi rayuan terakhir bagi menuntut pembebasan daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, selesai.

Fakta usia dan perjalanan yang jauh tidak mematahkan semangat beberapa penyokong untuk terus berada di kompleks Istana Kehakiman.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Merbok, Mallika Subramaniam, 56, bertolak dari Kedah pada jam 11 malam Selasa dan tiba di Putrajaya pada jam 5.30 pagi tadi.

mallika
Mallika Subramaniam tidak melepaskan peuang mengikuti prosiding kes liwat Anwar Ibrahim di Putrajaya. -Gambar Syafique Shuib/Astro AWANI


"Memang penat. Saya sendiri ada sakit lutut dan makan buat. Tapi nak buat macam mana? Saya harus berada di sini. Saya inginkan keadilan.

"Saya tahu Anwar tidak bersalah. Ini cerita Barisan Nasional sahaja," katanya.

Malikka yang gembira dapat hadir memberikan sokongan kepada Anwar turut teruja berada di Putrajaya kerana dapat berjumpa dengan rakan-rakannya yang lain.

"Saya sudah aktif bersama PKR selama tujuh tahun dan saya sering ke perhimpunan yang lain seperti Perhimpunan Bersih.

"Walaupun kita perlu bersusah, datang dari jauh, tak cukup makan, ubat pun habis, tapi perjuangan harus diteruskan," tambahnya.

Mallika berkata beliau akan tetap berada di Putrajaya sehingga perbicaraan selesai.

"Saya ingatkan ini adalah hari terakhir, tapi bukan. Saya tidak akan balik. Saya tetap akan di sini. Saya datang dengan bas jadi saya boleh tidur dalam bas sahaja," dia mengakhiri perbualan.

Awi Hassan, 55, bertolak dari Permatang Pasir pada jam 11 malam Selasa dan tiba di Putrajaya pada jam 6 pagi tadi.

awi
Awi datang jauh dari Permatang Pasir, Pulau Pinang untuk mengikuti prosiding secara lebih dekat. -Gambar Syafique Shuib/Astro AWANI

Peniaga kedai makan itu berkata sudah kebiasaan untuknya ikut serta dalam perhimpunan.

"Saya sudah lama aktif bersama PAS sebelum saya boleh pangkah lagi (mengundi). Saya sering ikut serta perhimpunan yang lain seperti Perhimpunan Black 505 pada tahun lepas.

"Saya mahukan keadilan. Ini penting untuk masa depan negara," kata Awi yang turut ditemani rakan-rakan dari Permatang Pasir.

Awi menyuarakan hasrat mahu melihat generasi baharu pula meneruskan perjuangan yang dibawa.

"Pakcik dah tua. Tinggal berapa tahun sahaja lagi. Jadi saya mahu anak-anak muda untuk teruskan perjuangan. Mereka perlu ambil tahu. Kalau kita tidak mengambil tindakan sekarang, generasi seterusnya akan menyalahkan kita kerana membebankan kehidupan mereka," tambahnya.

Sementara itu, penduduk warga kota yang ditemui turut berkata peri pentingnya berada di Putrajaya untuk memberi sokongan kepada Anwar.

"Kita berada di sini untuk memberikan sokongan moral kepada Anwar," kata Ketua PKR cabang Kepong M.A. Kalaimugilan.

kalai
Kalaimugilan bersama rakan-rakannya turut sama hadir memberi sokongan kepada Anwar. --Gambar Syafique Shuib/Astro AWANI

Lelaki berusia 26 tahun ini juga mengharapkan anak-anak muda untuk turun padang dan menuntut keadilan.

"Ini adalah untuk perjuangan generasi akan datang. Ini bukan perjuangan untuk Anwar seorang tapi ini untuk seluruh rakyat Malaysia.

Kalaimugilan datang ke Putrajaya bersama 50 ahli PKR cabang Kepong yang lain.

"Kita akan tambah jumlah ahli untuk esok dan lusa. Kita akan berada di sini sehingga keputusan membebaskan Anwar," tambahnya.

Jurugambar, Chee Hon, 30-an, begitu bersemangat untuk hadir walaupun tidak mewakili mana-mana parti politik juga bukan seorang aktivis politik.

"Saya mahukan keadilan untuk Anwar dan juga untuk ahli politik secara amnya. Saya anggap Anwar sebagai simbol keadilan negara.

"Saya mengikuti kes liwat Anwar ini. Saya sendiri berada di Kompleks Mahkamah Jalan Duta selepas keputusan kes liwat Anwar diumumkan pada 2012.

"Ketika itu, keadaan lebih riuh berbanding hari ini. Mungkin ini baru hari kedua. Kita tunggu hari terakhir nanti. Saya tidak sabar untuk menunggu keputusan," katanya.

Dalam pada itu Chee gigih mahu merakam detik-detik penting ini untuk tatapan generasi akan datang.

"Gambar-gambar saya boleh dijadikan rujukan untuk masa hadapan," tambah beliau.

Hari kedua menyaksikan lebih ramai penyokong Anwar berhimpun di luar Mahkamah Persekutuan.

Lebih kurang 400 penyokong tiba di kawasan luar mahkamah pada jam 8.30 pagi.

Ia diikuti dengan ketibaan Anwar pada jam 9.00 pagi. Keadaan sedikit kecoh susulan Anwar dilihat memasuki mahkamah melalui pagar di bahagian belakang.

Sambil berjalan lebih kurang 200 meter, dia sempat bersalaman dengan penyokong-penyokongnya.
Keadaan menjadi tidak terkawal buat seketika apabila Anwar dikepung puluhan jurugambar dan juga para penyokong-penyokongnya.

Pada jam 11.30 pagi, penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan pula tiba di kawasan mahkamah.

Lokasi mereka adalah kra-kira 500 meter dari kawasan penyokong Anwar berhimpun.

Pada jam 3 petang, para penyokong dibenarkan pihak polis untuk berhimpun di bawah khemah berikutan hujan lebat di Putrajaya.