Perjalanan prosiding rayuan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk hari keenam di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Barisan pendakwaan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mahu menghabiskan keseluruhan hujahnya yang tinggal kira-kira 30 peratus pada sebelah pagi.

Beliau terus menperincikan isu DNA sebelum penghujahan terakhir daripada barisan pembelaan diperdengarkan.

Pelanjutan sesi prosiding ini yang bermula sejak Selasa minggu lalu masih belum mendapat sebarang petanda sama ada barisan hakim bakal membuat keputusan segera atau menetapkan tarikh lain untuk berbuat demikian.

Berikut adalah perkembangan sesi prosiding di Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan hari ini:

3.05 petang: Setelah berbincang, Hakim Arifin menangguhkan sesi prosiding ke hari Khamis.

3.00 petang: Gopal meminta hakim memberi masa kepada pasukan pembelaan agar Ramkarpal dapat menyediakan hujah bertulis bagi menjawab isu DNA yang dibangkitkan oleh Shafee.

2.50 petang: Shafee membuat rujukan pantas tentang isu kredibiliti dan prosiding pendakwaan.

2.40 petang: Shafee memberitahu sidang mahkamah tentang gambar Saiful di majlis minum teh. Menurutnya, sebelum ini peguambela Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengatakan bahawa Saiful kelihatan ceria, tetapi Shafee memberitahu, Saiful sebenarnya dalam keadaan sebaliknya. Gambar itu bersifat subjektif dan tidak boleh menyokong hujah pasukan pembelaan kerana menurut Shafee, testimoni daripada jurugambar itu perlu diambil kira.

2.35 petang: Prosiding disambung semula. Shafee meneruskan pembentangan baki hujahnya.



1.10 petang: Shafee masih belum menghabiskan hujah. Hakim Arifin menangguhkan prosiding ke jam 2.20 petang.

12.35 tengah hari: Shafee berhujah tentang sampel DNA yang diambil dari rektum boleh bertahan lebih lama berbanding sampel dari peri-anal.

Shafee seterusnya mahu berhujah berdasarkan sebuah tulisan perubatan dalam bahasa Thailand tetapi rumusannya dalam Bahasa Inggeris. Namun, ia mendapat bantahan Ramkarpal atas sebab kandungan penulisan itu tidak difahami dan hakim menerima. Shafee meneruskan hujah yang lain.

12.15 tengah hari: Shafee meneruskan hujah tentang teori perpindahan kesan DNA seperti yang dibangkitkan mengenai seluar dalam yang dipakai Saiful ketika bertemu Dr Osman. Kesan itu dikatakan mungkin terjadi akibat pemeriksaan awal sebelum Dr Osman tidak jadi meneruskannya.

11.50 pagi: Shafee berhujah berdasarkan gambar-gambar bahan bukti dari lokap iaitu tuala muka yang telah digunakan, ubat gigi yang penutupnya terbuka dan air dalam botol air yang sudah terbuka dan diminum.

11.45 pagi: Shafee menyebut tentang kemungkinan ketika Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi memeriksa bahagian sulit Saiful, dia telah meninggalkan DNAnya sendiri lalu memberi kesan pada bahan bukti.

11.10 pagi: Prosiding disambung semula. Shafee meneruskan hujah mengenai DNA berdasarkan testimoni saksi. Menurutnya, faktor degenerasi bukan masalah dalam ujian menentukan identiti DNA.

10.50 pagi: Hakim Arifin merehatkan prosiding dan akan disambung pada jam 11 pagi.

10.45 pagi: Shafee membaca testimoni pakar kimia yang memeriksa sampel air mani dari tubuh Saiful. Beliau menjelaskan bahawa pakar terlibat mengesahkan bahawa sperma yang diperiksa masih mempunyai membran kepala. Membran itu sudah mampu memberikan bacaan DNA yang mencukupi.

10.35 pagi: Shafee menyentuh soal sampel air mani yang didakwa pasukan pembelaan sebagai tidak unggul untuk dijadikan bahan bukti. Sambil memetik kes contoh dari luar negara yang relevan, Shafee berhujah bahawa walaupun tidak mendapat sampel yang terbaik dalam kes Saiful, namun bacaan DNA yang diperolehi adalah unggul dan boleh diterima pakai.

10.15 pagi: Hakim Tun Arifin Zakaria bertanya pada Shafee apakah tujuan kes-kes contoh itu dibacakan. Shafee menjawab, itu adalah untuk panduan agar penghakiman dapat mendalami istilah 'konspirasi' seperti yang diuar-uarkan pihak pembelaan Anwar. Menurutnya, butiran dakwaan 'konspirasi' perlu dihuraikan secara teliti untuk memelihara integriti maklumat dan menginspirasi keyakinan.

10.10 pagi: Merujuk kepada kes-kes contoh yang dipetik itu, menurut Shafee, tertuduh atau perayu juga mempertikaikan banyak pihak lain dan menggunakan istilah 'konspirasi' bagi menutup kesalahannya.

Shafee Abdullah.
Barisan pendakwaan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (gambar) - Foto Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

10.00 pagi: Berdasarkan kes-kes contoh yang disebut dalam hujahan kerangka, Shafee menekankan bahawa pengabaian alibi tidak boleh dilakukan. Ini merujuk kepada pertikaian mengenai saksi yang tidak dipanggil bagi membuktikan alibi Anwar.

9.40 pagi: Selepas menyentuh tentang isu saksi alibi, Shafee memetik beberapa kes yang dibicarakan mahkamah di luar negara, untuk membuat perbandingan relevan tentang dakwaan, alibi dan pemprosesan DNA sebagai bahan bukti penting.

9.25 pagi: Barisan panel lima hakim tiba di kamar mahkamah dan sesi prosiding dimulakan.

8.50 pagi: Anwar tiba di kamar mahkamah dan berbincang bersama beberapa peguamnya. Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut kelihatan di galeri awam.





8.30 pagi: Petugas media dan pemerhati di galeri awam sudah mengisi tempat duduk. Para peguam dari kedua-dua belah pihak mula tiba dan bersiap sedia dengan dokumen penghujahan masing-masing.


Anwar Ibrahim
Foto Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Anwar diwakili 14 peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.

Peguam lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N.Surendran, R.Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu.

Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

BERITA LANJUT MENYUSUL