Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mencadangkan supaya satu kuota khas diwujudkan di institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah berasrama penuh (SBP), khusus untuk anak-anak nelayan.

Perkara itu akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat, menurut pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil.

Katanya, kuota terbabit perlu diwujudkan bagi meningkatkan taraf pendidikan golongan tersebut memandangkan lebih 10 peratus anak-anak nelayan menghadapi kekangan dalam meneruskan pengajian, termasuk berdepan masalah keciciran, akibat kemiskinan keluarga.

Tambahnya, pihak LKIM juga turut akan mengkaji kaedah terbaik untuk melibatkan anak-anak nelayan dalam teknologi industri perikanan dan marin bagi memberi mereka pendedahan mengenai ilmu teknologi perikanan baharu.

Beliau juga menegaskan, pihaknya tidak mahu masa depan nelayan ini dengan mempunyai anak-anak yang tidak lengkap pengajiannya hanya kerana ingin bekerja lebih awal.

“Mana-mana sektor pun ada masalah sama. Jadi, untuk nelayan, saya fokuskan supaya anak-anak ini diutamakan, supaya mereka jadi insan berkualiti.

"Walaupun jadi nelayan, tetapi mereka berkualiti, sebab bidang ini memerlukan satu anjakan dari sudut peralatan dan teknologinya," katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan penyerahan bantuan 'Kembali Ke Sekolah' bersama anak nelayan di Dewan Komuniti Nelayan Kuala Kedah di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Faiz menegaskan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan tidak pernah sesekali meminggirkan golongan nelayan terutama melalui bantuan dan insentif yang disalurkan kepada mereka.

Jelasnya, inisiatif yang diambil terutama menerusi LKIM adalah bagi meneruskan perjuangan dan legasi yang ditinggalkan bekas presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dalam membela nasib golongan tersebut.