Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) melaksanakan projek perintis pertama sistem penapisan air berkualiti menggunakan kepakaran Jepun berharga RM1.5 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk berasaskan kenaf di negara ini.

Ketua pengarahnya, Samsudin Noor berkata, projek perintis itu akan bermula tahun depan dan kini masih di peringkat kajian dan dilihat akan memberi nafas baru kepada pekebun kenaf.

Katanya, sistem penapisan menggunakan teknologi moden yang pertama ini dapat momodenkan proses mengeluarkan produk berasaskan kenaf dan meningkatkan pengeluarannya.

Teknologi baharu itu boleh meningkatkan hasil serta memproses pokok kenaf bermula dari daun, batang hingga ke bijinya bagi menghasilkan pelbagai produk untuk pasaran.

“Ini merupakan satu-satunya projek pertama di negara kita menggunakan penapis, kenaf dan saya dimaklumkan yang pertama di dunia.

“Teknologi ini telah pun berjaya di negara Jepun dan kita bekerjasama membawa teknologi ke sini dan sudah tentu akan memberi banyak manfaat kepada pekebun-pekebun kenaf kita,” kata beliau.

Beliau turut menyeru pekebun-pekebun di luar bahawa sekarang merupakan masa sesuai untuk tanam kenaf.

“Kenaf bukan hanya boleh menggunakan fiber tetapi kenaf empulurnya boleh digunakan untuk pelbagai produk bernilai tinggi,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek perintis penyelidikan penapisan air kor kenaf di Kilang Sawit Paloh 3, Gua Musang, Kelantan pada Ahad.

Projek perintis sistem penapisan air kor kenaf itu menggunakan alat moden disediakan Jepun International Cooperation Agensi (JICA).

Selain itu, projek itu turut mendapat kerjasama daripada Japan Limonite Co, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESADAR) dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Samsudin berkata, projek menggunakan penapisan cara moden melibatkan kos keseluruhan lebih RM3 juta itu sudah digunakan di negara Jepun.