Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang yang dihenti tugas sebelum ini susulan pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Selangor, kembali beroperasi sepenuhnya.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan ahli Kumpulan Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, turut beroperasi termasuk LRA Sungai Selangor fasa satu, dua dan tiga.

Pada masa sama, kenyataan tersebut turut menjelaskan punca pencemaran bau turut dikenal pasti dari Sungai Liam, Batang Kali, Hulu Selangor.

“Unit Kualiti Air Selangor dengan kerjasama pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran.

“Hasil siasatan berdasarkan tahap pencemaran bau yang tinggi adalah berpunca dari kawasan Sungai Liam, Batang Kali, Hulu Selangor.

“Pihak kami masih lagi dalam proses meningkatkan serta menstabilkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat,” jelasnya.

BACA: Kerja penambahbaikan LRA SSP1 minggu hadapan ditangguhkan

Kata kenyataan itu, berdasarkan pemantauan sehingga jam 6 pagi ini, peratusan pemulihan keseluruhan kawasan masih lagi rendah iaitu di tahap 19 peratus.

Dalam hal ini, Syabas tidak dapat memberikan jangka masa pemulihan mengikut kawasan buat masa ini.

Pada masa sama, Syabas menjelaskan sudah mengaktifkan 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 17 lokasi Pili Awam bermula jam 9:00 pagi, Sabtu bagi mengagihkan bantuan air kecemasan kepada pelanggan-pelanggan yang terjejas.

“Memandangkan insiden ini melibatkan kawasan berskala besar, pihak kami tidak dapat memenuhi permintaan bantuan bekalan air melalui lori tangki air kepada semua pelanggan yang terjejas.

“Bantuan lori tangki air digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan,” katanya lagi.

Sebelum ini, sebanyak 86 kawasan membabitkan 18,200 akaun pelanggan di Wilayah Kuala Selangor terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini.