Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam hari ini mengakui, memang ada rancangan untuk menubuhkan kerajaan campuran oleh pemimpin-pemimpin parti itu selepas tewas pada Pilihan Raya Umum, 9 Mei lalu.

Bagaimanapun, katanya rancangan tersebut gagal disebabkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan sebagai Presiden UMNO.

Selain itu beliau juga menolak dakwaan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong bahawa Barisan Nasional (BN) pada masa itu mempunyai rancangan untuk mengisytihar darurat.

“Dalam keadaan tersebut ketika hari yang kita tewas, kita masih dapatkan pandangan daripada peguam-peguam dan pakar undang-undang untuk melihat sekiranya kita boleh wujudkan kerajaan sementara sehingga sebuah kerajaan campuran dapat dibentuk.

“Malangnya bila Khairy mengasak Datuk Seri Najib untuk letakkan jawatan, proses ini telah gagal dilakukan dan menyebabkan (Perdana Menteri Tun) Dr Mahathir ambil kesempatan untuk mengumpulkan sokongan daripada parti-parti politik lain untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Kata Lokman, sesebuah parti politik dengan kerusi terbanyak boleh menjadi kerajaan sementara selagi proses angkat sumpah perdana menteri baharu tidak selesai.

Jelasnya, itulah yang dimaksudkannya dengan tempoh tiga bulan untuk BN terus berkuasa dan bukannya untuk mengisytihar darurat.

“Maksud saya dari segi undang-undang, parti yang perolehi kemenangan Ahli Parlimen paling ramai boleh diangkat sebagai ketua kerajaan.

“Sedangkan kalau kita lihat, (parti) Dr Mahathir (Bersatu) hanya mempunyai 13 kerusi berbanding dgn BN yang mempunyai 79 kerusi ketika itu.

“Kalau misalnya usaha Datuk Seri Najib tak diganggu, ada kemungkinan besar bukan Dr Mahathir yang berjaya yakinkan parti-parti politik lain, tapi ada kemungkinan besar Najib yang berjaya menarik parti-parti itu,” tambahnya.

Terdahulu, Chin Tong berkata, kenyataan Lokman seolah-olah menggambarkan bahawa kerajaan BN sebelum ini mempunyai rancangan untuk mengisytihar darurat selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ia susulan kenyataan Lokman yang menyalahkan tindakan Khairy yang menggesa Najib untuk meletak jawatan sebagai presiden parti.

“Jika anda baca artikel itu, Lokman berkata Najib bercadang untuk melewatkan keputusan untuk tiga bulan dan selepas itu akan berunding dengan Pakatan Harapan. Itu apa yang Lokman kata.

“Selepas itu Khairy merosakkan rancangan itu. Apa yang ingin saya katakan, Lokman perlu beritahu apa sebenarnya yang terjadi dan Najib perlu nafikannya.

“Tidak ada penjelasan lain. Bagaimana mereka boleh tambah waktu mereka berkuasa dan Najib masih jadi perdana menteri apabila dia sudah pun kalah pada pilihan raya selain daripada mengisytiharkan darurat?” katanya sewaktu dihubungi.