Penerbit buku panduan kembara global, Lonely Planet menyenaraikan Perak antara 10 Wilayah Terkemuka Dunia pilihannya bagi tahun depan.

Senarai itu dimuatkan dalam terbitan terbaharu Best in Travel 2017 dikeluarkan hari ini dan merupakan edisi tahunan ke-12 Lonely Planet yang memaparkan koleksi aliran (pelancongan dan pengembaraan) terkini, destinasi dan pengalaman dunia bagi tahun depan.

Buku kembara tahunan itu menyenaraikan 10 negara, bandar, wilayah serta destinasi terbaik disyorkan kalangan pakar Lonely Planet sendiri serta berperanan sebagai panduan pengembaraan bagi 2017.

Perak berada di kedudukan kesembilan selain Choquequirao, Peru (kedudukan 1); Taranaki, New Zealand (2); The Azores, Portugal (3); North Wales, United Kingdom (4); South Australia (5); Aysen, Chile (6); The Tuamotus, French Polynesia (7); Coastal Georgia, Amerika Syarikat (8) dan The Skellig Ring, Ireland (10).

"Ipoh yang juga ibu negeri Perak, menjadi tumpuan kerancakan pembangunan kafe serta butik gaya vintaj.

"Antara bukti sentuhan pembangunan semula gabungan elemen lama dan baharu adalah blok Kong Heng yang turut menempatkan hotel Sekeping Kong Heng.

"Kewujudan barisan kafe seperti Roquette Cafe, Burps & Giggles, Bits & Bobs ternyata dapat menarik ramai pengunjung untuk membeli-belah sambil menikmati juadah seperti ais kepal di kawasan bersejarah ini," kata Lonely Planet.

Selain itu, kata media berkenaan, kalangan pemilik rumah penginapan dan pemandu pelancong di Pulau Pangkor juga mula menawarkan peluang menikmati aktiviti kembara alam sekitar dan perkampungan, menyusuli program ditawarkan badan bukan kerajaan. - BERNAMA