Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya mencadangkan agar kelonggaran syarat pinjaman dapat dilaksanakan bagi permohonan Tabung Infra Pelancongan dan Tabung Pelancongan yang masing-masing diletakkan di bawah SME Bank dan Bank Pembangunan.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata ini berikutan rungutan dan aduan daripada pemohon industri pelancongan yang gagal mendapatkan pinjaman daripada bank-bank terlibat.

Menurutnya, ramai dikatakan tidak dapat memenuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan pemberi pinjaman hingga menyukarkan mendapatkan pinjaman khususnya Bumiputera.

"Tujuan tabung-tabung ini diwujudkan untuk membantu dan memberi pengalaman sebagai usahawan kepada bakal usahawan dan usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera namun kekangan syarat pinjaman dilihat menyekat hasrat itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan memperuntukkan dana RM500 juta melalui Tabung Infra Pelancongan di bawah SME Bank yang bertujuan membangunkan industri pelancongan dalam kalangan usahawan industri kecil dan sederhana.

Bagi Tabung Pelancongan di bawah Bank Pembangunan pula, kerajaan memperuntukkan lebih RM500 juta bagi membantu usahawan yang ingin membangunkan atau mengembangkan produk-produk pelancongan seperti hotel, chalet, resort dan lain-lain kemudahan penginapan.

Mohamaddin berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bagi melihat perkara itu dalam tempoh terdekat.

"Jika boleh kita mahu agar kelonggaran syarat dapat dibuat kerana kata akhir bagi maksud tindakan tersebut hanya dapat diputuskan oleh Kementerian Kewangan dan Bank Negara," katanya.

Beliau berkata industri pelancongan terbukti memberi pendapatan kepada negara apabila ia merekodkan peningkatan perbelanjaan pelancong sebanyak RM21.4 bilion bagi suku pertama tahun ini berbanding RM18.3 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

"Negara memerlukan lebih ramai pemain industri yang bertujuan melonjakkan ekonomi negara dan janji-janji untuk menaikkan ekonomi Bumiputera harus direalisasikan," katanya.

-- BERNAMA