Sebuah lori tangki dengan muatan 20,000 liter minyak diesel terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Pelangai Hilir, Kuala Pilah dekat sini hari ini.

Kejadian itu menyebabkan muatan minyak daripada lori tangki terbabit mengalir ke sebatang anak sungai berdekatan.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Pegawai Bomba Kanan II Mohd Zakaria Ramli berkata kejadian kira-kira 7.46 pagi tadi itu berlaku apabila lori terbabit cuba mengelak sebuah kereta yang berpusing di hadapannya sebelum ia terbabas dan bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga.

"Lori ini yang datang dari arah Kuala Pilah ke Juasseh cuba mengelak sebuah kereta yang dikatakan berpusing di hadapannya, namun kereta itu kemudiannya meneruskan perjalanan dan pemandu lori ini hilang kawalan lalu bertembung dengan kereta Proton Saga yang datang dari arah bertentangan .

"Kemalangan itu menyebabkan lori terbabas dan terbalik ke lereng bukit sedalam kira-kira 10 kaki manakala kereta erkenaan terbabas di tepi jalan. Pemandu lori dan pemandu kereta cedera dan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah manakala kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

"Sehingga kini, kerja-kerja pembersihan dan pemindahan minyak sedang dijalankan. Jabatan Alam Sekitar juga turun ke lokasi kerana tumpahan itu telah menyebabkan pencemaran alam sekitar," katanya. - Bernama