Seorang lagi penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di dakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth hari ini atas lapan pertuduhan rasuah melindungi 'lori-lori kebal' di Pulau Pinang.

Penolong Penguatkuasa berusia 48 tahun itu didakwa menerima suapan keseluruhan berjumlah kira-kira RM6,300 daripada syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri itu.

Bagaimanapun, tertuduh yang turut berdepan pertuduhan pilihan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Hanisham Din, dituduh menerima suapan bagi dirinya daripada Syarikat Kedah Coastal Transport& Trading Sdn Bhd sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Perai pada Januari hingga September 2016.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Untuk pertuduhan pilihan pula, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini manakala tertuduh tidak mempunyai peguam.

BACA: Rasuah: 18 lagi pegawai, penguatkuasa JPJ Pulau Pinang didakwa mulai esok

BACA: Sindiket lori kebal: 9 penguat kuasa JPJ didakwa esok

BACA: Lori kebal: 30 individu termasuk 24 anggota penguatkuasa JPJ direman

Terdahulu, Selvaranjini menawarkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Dalam rayuannya, bapa kepada tiga orang anak itu meminta hakim mengurangkan bayaran ikat jamin atas alasan dia mempunyai masalah kesihatan jantung dan terpaksa menyara keluarga serta ibu yang uzur.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula kes.

Setakat hari ini, seramai 28 penguatkuasa JPJ Pulau Pinang, termasuk dua bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), berdepan tuduhan sama.

Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang pada Januari lalu, selepas disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri itu.