Seorang kanak-kanak berusia dua tahun nyaris maut apabila lori sayur yang dipandu bapanya terbabas ke gaung berhampiran Kea Farm, Jalan Besar, di sini, pada Ahad.

Bapanya Woo Hon Meng, 36, bagaimanapun maut di tempat kejadian dalam insiden yang berlaku sekitar pukul tiga petang itu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Hasadid A Hamid berkata kejadian berlaku apabila lori sayur yang dipandu mangsa dari arah pekan Brinchang menuju ke Ulu Tenom hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung.

Menurut beliau, brek kenderaan mangsa dipercayai tidak berfungsi berdasarkan kesan geseran di lokasi kejadian.

"Ketika sampai di sebuah jalan sempit lurus dan curam, dipercayai brek kenderaan mangsa tidak berfungsi lalu melanggar bahagian kanan dan kiri tebing bukit beberapa kali.

"Sejurus selepas itu, kenderaan mangsa telah terjunam ke gaung setinggi 15 hingga 18 meter ke sebuah kebun sayur, namun tidak melibatkan mana-mana kenderaan lain selain kanvas pelindung sayur," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Hasadid, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Tambahnya, anak mangsa mengalami pendarahan di mata kanan, luka bibir dan badan selain patah tangan kanan berikutan insiden itu dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhamad Haziq Hazmi berkata pihaknya menerima panggilan jam 3.24 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Kami memeriksa keadaan mangsa dan mendapati pemandu lori itu tersepit di tempat duduk pemandu dan telah meninggal dunia.

"Kami kemudiannya menggunakan pemotong hidraulik untuk memotong kerangka lori berkenaan bagi mengeluarkan kanak-kanak kecil itu," katanya lagi.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.