Pasangan suami isteri parah tersepit hampir 30 minit selepas lori dinaiki mereka merempuh belakang sebuah bas di laluan utama Kampung Telok Piai, di sini, pagi ini.

Kejadian berlaku kira kira jam 8 pagi tadi ketika tiga beranak itu menaiki lori penuh muatan buah-buahan untuk perjalanan ke utara Semenanjung.

Rempuhan kuat itu menyebabkan pasangan terbabit yang berusia awal 30-an parah di bahagian kaki manakala anak perempuan mereka yang berusia 4 tahun hanya cedera ringan.

Menurut jurucakap bomba, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila lori dipandu mangsa gagal dikawal lalu merempuh belakang bas terbabit.

Keadaan di lokasi kejadian selepas kemalangan.

Satu jentera bersama tujuh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dari Tanjung Karang dikejarkan ke tempat kejadian dan mangsa berjaya dikeluarkan 30 minit kemudian.

Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk rawatan.