Sebuah lori tangki yang membawa asid terbalik di KM373 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran susur keluar plaza tol Slim River di sini, petang Selasa.

Pemandu lori terbabit, seorang lelaki berumur 32 tahun, dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan selepas mengalami kecederaan ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, Mohd Fazrul Azuan Norman berkata, sepasukan 11 pegawai dan anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.53 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati tangki berkenaan membawa asid sulfurik komersial yang beratnya lebih 24 tan dan berlaku kebocoran.

Tangki berkenaan membawa asid sulfurik komersial yang beratnya lebih 24 tan. - Foto ihsan JBPM
"Disebabkan sifat asid yang menghakis dan berbahaya, anggota bertindak memagar lokasi kejadian sejauh 100m, dan lorong kiri serta tengah ditutup untuk keselamatan," katanya.

Menurutnya, bantuan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) daripada BBP Pasir Puteh, Ipoh turut dipanggil bagi mengawal kebocoran.

Kemalangan turut menyebabkan laluan trafik mula perlahan beberapa kilometer dari arah Slim River menuju ke Behrang berikutan penutupan lorong kiri dan tengah lebuh raya.

Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, lori yang membawa asid dengan kepekatan 98 peratus itu terbalik di bahu jalan.

"Pasukan HAZMAT tiba di lokasi dan melakukan proses 'hazard and risk assessment' (penilaian risiko dan ancaman)," katanya.