Kementerian Pengangkutan menggalakkan mana-mana individu untuk menyalurkan maklumat mengenai pengguna jalan raya yang menyalahgunakan lorong kecemasan di lebuh raya semasa musim perayaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata aduan maklumat boleh disalurkan terus kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Mana-mana pihak yang ada maklumat itu boleh hantar kepada JPJ dan kita akan lihat balik dan saman boleh dikeluarkan (atas kesalahan salah guna lorong kecemasan),” katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sempena Hari Raya Aidilfitri di Persada PLUS di sini hari ini.

Setakat ini, katanya, 83 saman telah dikeluarkan ke atas pengguna yang melakukan kesalahan menyalahgunakan lorong kecemasan.

Jelasnya, penggunaan lorong kecemasan hanya akan menyebabkan kemalangan.

“Jangan salah guna lorong kecemasan sebab kalau ada kecemasan ia akan menghalang pergerakan ambulans.

"Saya faham ada yang nak cepat, tetapi itu akan membahayakan pengguna lain, dan keduanya anda sedang dipantau,” kata Anthony.

Justeru, beliau mengingatkan pengguna jalan raya agar sedar mereka sentiasa diperhatikan pihak berkuasa.

“Jangan ingat tiada peronda kamu tidak dipantau. Kalau anda masuk laluan kecemasan, kita akan zoom in. Saman boleh dikeluarkan,” katanya lagi.

Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa bersabar memandangkan jumlan trafik yang tinggi setiap kali tiba musim perayaan.

“Saya minta supaya bersabar dan beri kerjasama. Trafik tinggi tidak boleh dielakkan dan harap semua bersabar,” ujarnya.