Tutup

Love Scam: Pembantu makmal ditipu lebih RM130,000

Love Scam: Pembantu makmal ditipu lebih RM130,000
Seorang pembantu makmal kerugian RM131,630 akibat diperdaya sindiket penipuan Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki di laman sosial awal tahun ini. -Gambar hiasan
MARAN: Seorang pembantu makmal di sini kerugian RM131,630 akibat diperdaya sindiket penipuan Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki di laman sosial awal tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 39 tahun itu berkenalan dengan lelaki berkenaan di laman Facebook pada Januari lalu sebelum menyatakan hasrat mahu menghadiahkan barangan mewah.
"Suspek yang memperkenalkan diri sebagai Mohammed Luqman seorang warganegara Arab dan tinggal di United Kingdom (UK) kerana menjalankan perniagaan tekstil di negara itu.

"Dalam perkenalan singkat itu, suspek menyatakan mahu memberi hadiah berupa barang kemas, cincin, kasut, jam tangan, telefon bimbit, komputer riba, beg tangan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata suspek mendakwa akan menghantar barangan berkenaan menggunakan khidmat syarikat kurier.

Pada Februari lalu, mangsa diarahkan membuat pembayaran kepada Ampthill Courier bagi caj penghantaran barangan berkenaan berjumlah RM1,450.

"Sejak itu sehingga bulan lalu, mangsa sudah membuat beberapa kali transaksi melalui mesin deposit tunai ke dalam tujuh akaun berlainan yang diberikan oleh suspek dengan alasan kos keselamatan penghantaran barangan berkenaan.

"Kesemua transaksi berkenaan dibuat di CIMB Bank, Maran. Jumlah anggaran kesemua transaksi sehingga hari terakhir pindahan wang dilakukan iaitu pada 7 Jun lalu adalah sebanyak RM131,630," katanya.

Menurutnya, mangsa menyedari dirinya tertipu selepas tidak menerima hadiah mewah yang diberikan oleh kenalannya itu walaupun sudah memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.