Seorang pekerja kilang yang menjadi mangsa penipuan Love Scam mengalami kerugian RM45,000 selepas diperdayakan seorang lelaki yang menawarkannya pelaburan saham dengan keuntungan dua kali ganda.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata wanita berusia 53 tahun itu mendakwa beliau mula mengenali suspek melalui media sosial Facebook sebulan yang lepas.

"Disebabkan percaya kata-kata suspek, wanita itu telah membuat tiga kali pembayaran ke akaun suspek yang ke semuanya berjumlah RM45,000 dan dimaklumkan akan menerima wang yang telah dilaburkan, bersama dengan keuntungan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun semalam wanita itu diberitahu suspek pemulangan wang yang dilaburkan pada 19 Julai lepas itu akan lewat, dan sebaliknya wanita itu diarahkan sekali lagi memasukkan wang berjumlah RM70,000 ke akaun yang sama, yang mana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan wangnya tidak akan dapat dikembalikan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, Aidi Sham berkata seorang lelaki ditahan selepas membuat laporan palsu mendakwa dia disamun dua lelaki bermotosikal di sebuah jalan pintas ke Lukut, pada pukul 7.15 petang, Isnin lepas.

Beliau berkata lelaki itu yang membawa wang RM100,000 yang disyaki milik pelanggan perniagaan bitcoin sanggup mencederakan diri sendiri dan telah menerima 25 jahitan di Hospital Port Dickson.

"Lelaki berkenaan bagaimana pun hanya membuat laporan pada 12.50 tengah malam Selasa lalu. Dalam laporan itu, dia mendakwa disamun dua lelaki bermotosikal sehingga menyebabkan kecederaan pada lengan kanannya susulan ditoreh selain wang tunai RM100,000, dokumen pengenalan dirinya, dan telefon bimbit yang diletakkan dalam bakul motosikalnya dilarikan.

"Bagaimana pun pada hari yang sama laporan dibuat, dia ditahan polis kira-kira pukul 3.15 petang di kediamannya di Kampung Lagenda di sini kerana keterangan dan laporan yang dibuat meragukan," katanya sambil menambah susulan penahanan itu, polis menemui semula wang berkenaan yang disembunyikan di kawasan semak berhampiran Sungai Pinggiran Senawang.

Katanya, suspek direman selama enam hari bermula semalam dan kes disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA