Lulusan matrikulasi Kementerian Pendidikan akan dianugerahkan Sijil Matrikulasi mulai tahun ini bagi memudahkan mereka memohon pekerjaan di sektor awam dan swasta, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memperluaskan pengiktirafan kepada program matrikulasi setelah mengambil kira pelbagai kecemerlangan yang dicapai pelajar di bawah program itu.

Pengumuman itu dibuat Mahdzir ketika berucap dalam majlis taklimat sempena Minggu Pengurusan Pelajar Baharu di Kolej Matrikulasi Kedah di Changlun, di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu hanya terpakai kepada lulusan matrikulasi bermula tahun ini manakala pengeluaran sijil akan dilakukan oleh kementerian sendiri.

"Mengenai proses pengiktirafan sijil berkenaan, kementerian akan membentangkan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dalam tempoh terdekat," katanya.