Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plants (LAPM) akan menghantar laporan dapatan mereka kepada kerajaan pada 27 Nov ini.

Pengerusi jawatankuasa eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar berkata laporan itu akan dihantar kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

"Kami sentiasa berfikir dan bertindak secara neutral, profesional, telus dan terbuka dalam laporan dan syor kepada menteri untuk dibentangkan kepada Kabinet," katanya pada akhir sesi Pendengaran Awam jawatankuasa eksekutif berkenaan, di sini hari ini.

Mazlin berkata terdapat tiga aspek dinilai terhadap kilang pemprosesan nadir bumi itu, melibatkan pematuhan standard kesihatan serta keselamatan, pengurusan sisa radioaktif serta bahan berjadual yang dihasilkan kepada alam sekitar.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghadiri sesi pendengaran awam itu, kerana menunjukkan sikap matang, telus, terbuka, sabar dan bertolak-ansur sehingga tiada insiden tidak diingini berlaku.

Turut hadir pada pendengaran awam itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang juga Anggota Parlimen (MP) Kuantan dan MP Bentong Wong Tack serta Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Amanda Lacaze.

Sementara itu, Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Lynas, Profesor Dr Ismail Bahari berkata masyarakat tidak perlu menjadi 'saintis tegar' untuk memahami isu berkenaan kerana Lynas telah melakukan tindakan sepatutnya.

Beliau berkata Lynas telah mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam keselamatan dan kesihatan penduduk serta alam sekitar sejak 2008 dengan mendengar pandangan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

Naib Presiden Modal Insan dan Komuniti Lynas, Mimi Afzan Afza pula memaklumkan Malaysia merupakan 'jantung' operasi Lynas yang berpangkalan di Australia kerana semua proses teknologi tinggi dijalankan di Gebeng di sini.

"Segala tugasan teknikal mencabar dilakukan di Kuantan dan terdapat 645 pekerja dengan 97 peratus adalah warga tempatan terdiri daripada lulusan Doktor Falsafah, Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma.

"...di sini, kita menjalankan proses membina kepakaran tempatan dan membangunkan harta intelek Malaysia. Nadir bumi digunakan dalam kehidupan seharian kita dan teknologi seperti telefon pintar dan kereta," katanya.

-- BERNAMA