Lynas (Malaysia) Sdn Bhd (Lynas) perlu menghentikan sementara operasi pengeluaran sisa buangan 'Water Leached Purification' (WLP) di kilang nadir bumi milik mereka di sini sekiranya masih gagal membersihkan sisa yang ada menjelang September nanti.

Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh hal itu wajar dipertimbangkan oleh syarikat berkenaan memandangkan sebarang pengeluaran sisa buangan baharu akan merumitkan lagi usaha untuk menghantar balik kesemua sisa bahan itu ke Australia dari premis penapisannya di Gebeng.

"Lynas dalam kenyataannya yang hari ini (semalam) menyatakan mereka tidak yakin dapat memenuhi untuk mengeluarkan kesemua sisa bahan buangan mereka sebelum September nanti seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebagai syarat pembaharuan lesen operasi mereka nanti.

"Sekiranya tidak siap dihantar sebelum bulan September, saya berpendapat bahawa kilang itu tidak boleh terus mengeluarkan sisa (WLP)...maksudnya saya tidak kata mereka harus tutup kilang, cuma jangan mengeluarkan sisa selagi sisa yang ada itu tidak dibersihkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa merasmikan Program My Best Buy dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang di Serambi Teruntum di sini semalam yang turut dihadiri oleh Pengarah Fama Negeri Rosli Awang Da.

Katanya kerajaan hari ini setiasa mengutamakan soal keselamatan rakyat dan berikutan itu segala sisa bahan buangan daripada kilang itu akan dipastikan akan dibawa pulang ke negara asalnya seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

Kerajaan pada Disember lalu telah menetapkan dua syarat utama bagi Lynas untuk membolehkan mereka kembali memperbaharui lesen operasi mereka iaitu syarikat itu perlu menghantar 450,000 metrik tan sisa WLP yang mengandungi bahan radioaktif keluar dari negara ini.

Selain itu mereka juga perlu mengemukakan pelan tindakan bagi melupuskan satu lagi sisa buangan iaitu 'Neutralization Underflow Residue '(NUF) yang tidak mengandungi radioaktif.

Ini adalah tertakluk di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7) serta Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Selepas mematuhi syarat ini, barulah permohonan pembaharuan lesen boleh dipertimbangkan.

Sementara itu, Fuziah memuji langkah yang diambil oleh pihak Fama dalam membantu usahawan perusahan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini dengan mengadakan program seperti itu yang disifatkan dapat membantu mereka yang terlibat dalam mempromosikan lagi produk keluaran mereka.

Program My Best Buy dan JTDL itu itu diadakan selama tiga hari bermula semalam dengan disertai seramai 46 peserta yang memasarkan pelbagai jenis produk termasuk buah-buahan segar, produk tanaman jangka pendek dan ulam-ulaman serta pelbagai produk makanan PKS.