Lynas Malaysia Sdn Bhd, kilang memproses nadir bumi di Gebeng dekat sini sentiasa menitikberatkan aspek kecekapan dan kesiapsiagaan pekerjanya menghadapi sebarang kemungkinan kemalangan melibatkan kebakaran.

Pengurus Kanan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Lynas Marwani Hirmi Muda berkata pihaknya menjalin hubungan baik dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri untuk mendapatkan pendedahan terperinci berhubung sesuatu masalah.

"Lynas ini adalah salah satu ahli GEMA (Gebeng Emergency Mutual Aid) yang terdiri daripada kilang-kilang di sekeliling Gebeng dan GEMA diketuai oleh Pengarah JBPM Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

"Sekiranya Lynas menghadapi masalah kita akan terus tanya kepada bomba yang juga memberikan sokongan untuk penganjuran program berkaitan latihan mahupun pencegahan kebakaran," katanya kepada pemberita selepas demonstrasi latihan kebakaran besar di kilang itu pada Isnin.

Marwani Hirmi berkata latihan kecil menghadapi risiko kebakaran serta tumpahan bahan kimia juga dijalankan sebulan sekali membabitkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) kilang berkenaan.

Mengenai latihan kebakaran itu, beliau berkata ia mencapai objektif apabila anggota ERT berjaya mengikuti prosedur ditetapkan dalam menghadapi dua senario kemalangan iaitu membabitkan kebakaran dan tumpahan bahan kimia sekiranya berlaku di kilang itu.

"Kita hendak melihat sejauh mana anggota ERT boleh berdepan situasi sekiranya berlaku kemalangan melibatkan kebakaran dan tumpahan bahan kimia," katanya.
-- BERNAMA