Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) meminta kerajaan mengkaji semula bajet kewangan Universiti Awam (UA) bagi menjamin kualiti perkhidmatan institusi tersebut.

Presiden MAAC Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata pengurangan itu juga dikhuatiri akan menjejaskan penyediaan fasiliti terutama universiti yang mempunyai makmal dan hospital.

"Kami pihak kongres amat berharap dalam keadaan apa sekalipun dan meminta saluran kewangan atau perbelanjaan universiti tidak dipotong terlalu banyak, katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Konvensyen Akademik Kebangsaan Universiti Awam Malaysia 2016 (Kakuam) di sini pada Selasa.

Majlis penutupan dilakukan oleh Timbalan Presiden II Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Mohd Idrus berkata ketika ini pihak UA terpaksa mencari altenatif lain bagi menjana sumber kewangan.

"Pihak universiti terpaksa mencari altenatif lain dengan kurangkan bebanan kewangan di universiti sendiri atau menaikkan yuran.

Tetapi jika kita menaikkan yuran, ia akan menjejaskan ibu bapa pelajar dan jika menaikkan pinjaman PTPTN ia akan membebankan pelajar," katanya.

KAKUAM 2016 selama dua hari itu dihadiri oleh pemimpin persatuan UA dari 20 UA dan sebanyak enam kertas kerja berkaitan kepimpinan akademik telah dibentangkan. - BERNAMA