Permohonan maaf yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Inc, David Solomon kepada rakyat Malaysia nampaknya masih tidak dapat meredakan keadaan yang membabitkan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya Menteri Kewangan Lim Guan Eng tetap mahukan balasan yang setimpal dan sepatutnya dari syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.

Jelas Guan Eng, permohonan maaf sahaja tidak mencukupi dalam skandal yang membabitkan jumlah wang yang sangat besar itu sehingga mencecah AS$7.5 bilion (RM30.81 bilion).

“Permohonan maaf sahaja tidak cukup. Ia seharusnya mempunyai pampasan yang diperlukan.

"Kami berharap mereka akan membuat permintaan maaf kepada orang-orang Malaysia dan mereka mengatakan dengan jelas bahawa mereka mendakwa mereka ditipu oleh salah seorang daripada mereka sendiri, bersama-sama dengan pegawai kerajaan yang paling tinggi dalam pentadbiran sebelumnya.

"Saya rasa anda tahu siapa yang mereka maksudkan. Dan pegawai tertinggi itu cuma seorang sahaja," katanya ketika hadir pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Rasmi Pengatur Utama untuk menerbitkan Bon Samurai di Putrajaya pada Jumaat.

BACA: Goldman Sachs mohon maaf pada rakyat Malaysia

BACA: Goldman Sachs patut bertanggungjawab - Najib

BACA: 'Bayar atau jumpa di mahkamah' - Guan Eng kepada Goldman Sachs

Dua hari lalu Solomon memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana isu skandal membabitkan 1MDB.

Bagaimanapun, dia mempertahankan firma itu turut jadi mangsa dalam skandal 1MDB.

Malaysia telah menfailkan tuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs bulan lalu atas dakwaan firma itu terbabit dalam pembabitan mana-mana pengantara Goldman dalam transaksi dengan 1MDB.