Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah bersiap sedia untuk melaksanakan pembenihan awan dan hanya menunggu keadaan awan yang sesuai untuk berbuat demikian bagi menangani masalah cuaca panas dan kering yang melanda Kedah sejak November lepas.

Pengerusi MADA Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata lembaga itu yang bertanggungjawab menguruskan pertanian di negeri ini sebenarnya telah bersedia sejak November lalu namun keadaan awan sehingga kini masih tidak mengizinkan untuk berbuat demikian.

"Kita menunggu sebenarnya, kita tengok hari ini pun langit biru, memang cantik mata memandang, tetapi langit biru ini tak boleh buat pembenihan. Maksudnya, kita kena tunggu awan mencukupi baru proses pembenihan itu akan dilakukan.

"Kita dalam keadaan bersedia sebenarnya, kalau nampak awan yang jenis boleh dibenih, kita akan terus buat...hari itu bulan 11 kita dah sedia pun tetapi sebab cuaca yang ada itu memang tak kondusif, tak sesuai untuk pembenihan," katanya pada sidang media selepas berjumpa wakil badan bukan kerajaan (NGO) Masyarakat Cina di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata paras air di semua empangan di negeri ini menunjukkan pengurangan susulan keadaan cuaca panas ketika ini.

"Dah ada (penduduk) kawasan sekitar Kedah ini yang mengadu bekalan air dah berkurangan. Jadi saya juga minta supaya kawasan yang ada air berjimatlah, jangan guna terlampau banyak air," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata beliau telah mendapat perkenan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini untuk mengarahkan semua masjid di negeri ini mengadakan Solat Sunat Istisqa pada Jumaat ini bagi memohon doa diturunkan hujan.

"Kita doakan agar kita akan menerima hujan yang akan bantu meningkatkan bekalan air," katanya.

-- BERNAMA