Pemangku Presiden Parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata beliau akan menyokong sekiranya cadangan mewujudkan semula sekolah kebangsaan aliran Inggeris di Sabah dibawa ke kabinet.

Katanya cadangan mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris di Sabah memang amat diperlukan kerana ia boleh meningkatkan keyakinan pelajar dalam aspek penguasaan dan pengembangan ilmu di peringkat antarabangsa.

"Saya sangat bersetuju dengan cadangan rakan saya (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tentang pewujudan semula sekolah aliran Inggeris.

"Sebagai permulaan, kita mungkin boleh buat (adakan) sekolah perintis melibatkan beberapa buah sekolah. Selepas itu baharu dikembangkan ke sekolah-sekolah lain.

"Saya memang menyokong kerana ia (sekolah aliran Inggeris) amat kita perlukan. Kita lihat Universiti (Teknologi) Petronas sebagai contoh memang menggunakan bahasa pengantar, Bahasa Inggeris.

"Kita boleh lihat keberkesanan (penguasaan ilmu) di kalangan pelajarnya. Bila mereka buat latihan industri, mereka buat di luar negara seperti di Jepun, Amerika Syarikat dan sebagainya. Saya lihat pelajarnya memang cukup berkeyakinan," katanya.

Madius yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Cabaran Inovasi Inklusif 2017 Zon Sabah di sini hari ini.

Semalam Abdul Rahman mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan membenarkan pewujudan semula sekolah aliran Inggeris di Sabah bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negeri ini agar pencapaian mereka setanding dengan rakan mereka di Semenanjung.

Menurut Madius, kemajuan yang dikecapi negara seperti China dan negara Asia Tenggara sendiri termasuk Indonesia kini begitu ketara dan pesat selepas negara-negara berkenaan turut memberi penekanan kepada penguasaan bahasa Inggeris..

"Apa yang penting bagi saya ialah cadangan akan meningkatkan lagi keyakinan pelajar-pelajar dalam penguasaan ilmu. Itu yang penting," kata Madius yang juga Anggota Parlimen Tuaran. --BERNAMA