Yayasan Aids Malaysia (MAF) akan melancarkan satu Skim Bantuan MyLady bertujuan membantu para wanita penghidap HIV untuk meneruskan hidup secara normal.

Skim yang bakal diperkenal pada majlis Makan Malam Gala #Girlpower 2019 pada Jumaat nanti bertujuan memberi sumber kelangsungan hidup kepada para wanita terutamanya bagi mereka yang berminat menceburi bidang perniagaan.

Menurut Penasihat Korporat MAF, Yazlan Yahya, majlis makan malam tersebut juga akan mengutip sumbangan sebanyak RM200,000 yang kemudiannya akan diserahkan kepada Skim Bantuan MyLady.

“Sumbangan itu akan diberikan kepada mereka untuk dijadikan modal permulaan perniagaan dan pekerjaan.

“Setakat ini kami telah mengenal pasti seramai 10 wanita yang layak menerima bantuan dan bilangan penerima akan ditambah dari semasa ke semasa," katanya pada Selasa.

Turut hadir ialah chef selebriti, Datuk Ismail Ahmad atau lebih dikenali sebagai Chef Ismail.

Pada majlis makan malam itu nanti, MAF juga akan memfokuskan bilangan penghidap HIV wanita yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Pada akhir tahun 2018, dilaporkan seramai 13,000 kes wanita dan remaja perempuan di Malaysia dijangkiti HIV.

MAF merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1993 dan dinaungi oleh Datin Paduka Marina Mahathir.