Yayasan AIDS Malaysia (MAF) akan mempergiatkan kempen kesedaran HIV dan AIDS berikutan peningkatan kes HIV dalam kalangan anak muda pada tahun lepas, kata pengerusinya Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Berdasarkan data diperoleh daripada Kementerian Kesihatan, beliau berkata golongan muda berusia antara 20 hingga 29 tahun mencatat kes HIV tertinggi iaitu 1,356 kes tahun lepas berbanding 1,232 kes pada 2015.

"Golongan yang menjalin hubungan seks sejenis (homoseksual), mengamalkan hubungan seks rambang secara tidak selamat (tidak menggunakan kondom) serta penagih mencatat peningkatan kes HIV tahun lepas dan angka ini sangat membimbangkan," katanya pada sidang media selepas acara larian 'Hot and Cold' anjuran MAF dengan kerjasama Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) hari ini.

Turut hadir ialah Duta Yayasan AIDS Malaysia yang juga pelakon, Fahrin Ahmad dan penyanyi Najwa Latif.

Dr Adeeba berkata selain menyuntik kesedaran mengenai HIV dan AIDS, program larian 'Hot and Cold' yang pertama kali diadakan di UM itu turut mengumpul dana bagi membantu golongan pesakit HIV dan AIDS.

Dalam pada itu, beliau berkata MAF juga akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membantu pesakit beragama Islam menerusi bantuan Baitulmal dan zakat, di samping memberi kesedaran rohani.

-- BERNAMA